Gerak balas daripada kaum Melayu Malayan_Union

Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu, yang biasanya bersikap lemah lembut dan sering boleh di arah untuk melakukan itu dan ini telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pemimpin-pemimpin Melayu dan pesara-pesara British daripada Perkhidmatan Awam di Tanah Melayu telah mengetuai bidasan terhadap rancangan Malayan Union, dan membidas MacMichael kerana menggunakan 'ugutan' untuk memperolehi persetujuan daripada sultan-sultan Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak meLobi Tanah Melayu di Parlimen antara bekas pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu yang mengambil bahagian adalah Frank Swettenham. Mereka turut menulis surat-surat kepada akhbar nasional dan untuk merayu kepada Perdana Menteri United Kingdom agar menghentikan usaha menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada tanah jajahan. Kegiatan seumpama ini mewujudkan tanggapan bahawa terdapat tentangan yang hebat terhadap Malayan Union bukan sahaja daripada penduduk Tanah Melayu malahan daripada pegawai dalaman British sendiri.

Sultan-sultan Tanah Melayu juga telah terpengaruh oleh perasaan anti Malayan Union yang dianjurkan oleh pegawai-pegawai Melayu dan rakyat Melayu. ini mengheret baginda sultan untuk membantah secara terbuka terhadap cara yang digunakan oleh MacMichael untuk memperoleh tandatangan baginda-baginda untuk perjanjian baru itu. Sultan-sultan tersebut menolak rancangan Malayan Union dan cadangan untuk menghantar sutu perwakilan ke London untuk memansuhkan rancangan itu telah disuarakan. Bagaimanapun, sudut pandangan orang Melayu disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau PEKEMBAR yang telah muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Pihak British sangat terperanjat dengan perubahan sikap masyarakat Melayu. Selepas pendudukan Jepun orang-orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang dari tanah seberang (Indonesia). Di atas kesedaran inilah Orang-orang Melayu telah bangun bersama-sama untuk menentang cadangan pihak British. Tindakan yang kemas telah dilancarkan melalui UMNO. Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama, malahan sultan-sultan negeri-negeri Melayu juga turut bersama-sama bergabung dengan rakyat Melayu untuk menentang Malayan Union. Satu perkara yang tidak pernah terjadi di Tanah Melayu sebelumnya.

Perjuangan orang-orang Melayu tidak terhenti setakat itu sahaja, orang Melayu turut mengadakan ceramah-ceramah umum di seluruh semenanjung untuk menyedarkan masyarakat Melayu di kampung-kampung. Selepas menerima tekanan yang begitu kuat, pihak British yang masih ingin meneruskan Malayan Union mencadangkan satu jawatankuasa dihantar untuk melihat reaksi masyarakat Melayu. Ahli jawatankuasa tersebut telah terkejut melihat reaksi yang amat kuat dari orang melayu untuk menghentikan Malayan Union. di mana sahaja mereka pergi pasti disambut dengan ribuan umat melayu dengan slogan-slogan anti Malayan Union. Malahan mereka dan Gabenor Malayan Union ketika itu turut bersimpati dengan orang-orang Melayu. Pada akhir lawatan tersebut, ahli jawatankuasa terbabit telah mengambarkan sesuatu yang positif di dalam ucapan mereka. Ramai orang melayu dan UMNO sendiri yakin bahawa Malayan Union akan berkubur.

Penubuhan UMNO

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru.[1] Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.